JUN 2021

Fadillah Ajak Rakyat Berganding Bahu Jayakan Pelan Pemulihan Negara


KUCHING: Strategi Pelan Pemulihan Negara merupakan pendekatan terbaik dalam usaha membawa keluar negara sekali gus memulihkan ekonomi daripada krisis pandemik Covid-19.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat menjadi keutamaan kerajaan dalam melaksanakan strategi merangkumi empat fasa seperti diumum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Strategi itu dirangka berdasarkan data dan sains serta indikator tertentu.

“Justeru, amat penting supaya setiap lapisan masyarakat berganding bahu dan memberi sokongan padu bagi menjayakan pelan yang diumumkan demi memastikan kemenangan bersama dicapai dalam membawa keluar negara daripada krisis pandemik yang sudah lebih setahun melanda negara.

“Kita sendiri telah nampak tanda-tanda penurunan jangkitan sejak PKP 3.0 dilaksanakan, namun kita semua tidak harus sama sekali lalai, sebaliknya perlu terus mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika mengulas Strategi Pelan  Pemulihan diumumkan Perdana Menteri semalam.

Sehubungan itu, Fadillah menyarankan mereka yang belum mendaftar untuk suntikan vaksin, daftarlah segera . 

“Dengar kadar vaksinasi telah mencecah 197,963 dos semalam (14 Jun) dan akan dipertingkatkan hingga lebih 300,000 dos sehari serta peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung Julai ini, imuniti kelompok akan dapat kita dipercepatkan sekali gus menjayakan pelan ini.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan memberi komitmen padu demi menjayakan Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti